Monday, 14 January 2013

KISAH KUPU-KUPU DAN RAMA-RAMA... 13.01.13.


KISAH KUPU-KUPU DAN RAMA-RAMA

Di sebuah taman yang indah dan permai, tinggal pelbagai jenis seranggan dan haiwan yang hidup dengan aman dan harmoni. Hidup mereka terkenal dengan sikap hormat-menghormati antara jiran tetangga. Kehidupan mereka terasing daripada kehidupan manusia. Mereka tidak perlu risau tentang ancaman-ancaman yang bakal diterima daripada kehadiran manusia. Namun, terdapat sejenis serangga yang menjadi perbualan dan teladan kepada hidupan lain, iaitu Kupu-kupu dan Rama-rama. Mereka terkenal dengan sikap rajin dan ramah mereka. Mereka sama, tetapi tidak serupa. Inilah keunikan yang menjadi bualan dan perhatian banyak serangga dan haiwan di taman tersebut. Walaupun mereka berdua hidup dalam komuniti yang sama, namun mereka tidak pernah bertemu satu sama lain. Rama-rama bergerak pada waktu malam, manakala Kupu-kupu bergerak pada waktu siang. Mereka sika akan manisan, terutamanya madu daripada bunga-bungaan dan buah-buahan. Rama-rama sering kali mendengar perbualan di antara haiwan dan serangga di dalam taman mengenai keistimewaan dan persamaan Kupu-kupu dengan dirinya. Dia berasa sangat mushkil dan ingin sekali berjumpa dengan Kupu-kupu. Begitu juga yang dirasakan oleh Kupu-kupu. Oleh sebab Kupu-kupu aktif pada waktu siang, dia tidak mempunyai kesempatan untuk berjumpa dengan Rama-rama. Rama-rama juga mempunyai kesukaran yang sama disebabkan aktif pada waktu malam.
Suatu hari, Kupu-kupu terdengar perbualan Mawar mengenai Rama-rama. Dia tertarik untuk turut menyertai perbincangan tersebut. Mawar mengakui bahawa Rama-rama sering kali mengambil madunya pada waktu malam. Dia juga sering berbual dengan Rama-rama tatkala banyak haiwan sedang nyenyak dibuai mimpi malam. Mereka berdua telah menjadi sahabat yang rapat. Kupu-kupu mendapat idea daripada perbualan yang didengarinya itu. Dia bercadang untuk menjadikan Mawar sebagai pengantara untuk menyampaikan hajatnya untuk bersahabat dengan Rama-rama. Oleh itu, setiap pagi, Kupu-kupu akan bertemu dengan Mawar untuk berkongsi cerita dan pengalaman yang ingin dikongsi bersama Rama-rama. Mawar pula akan menceritakan semula setiap cerita-cerita tersebut kepada Rama-rama menjelang malam. Rama-rama yang tertarik dengan cerita-cerita itu mula berminat untuk mengenali Kupu-kupu dan bersahabat dengannya. Oleh itu, mereka berdua sering bertukar cerita walaupun tidak pernah bersua muka.
Tanpa mereka sedari, hampir sebulan mereka bertukar-tukar cerita melalui Mawar. Persahabatan mereka menjadi semakin akrab hari demi hari. Hubungan mereka sekali lagi mendapat perhatian banyak serangga dan menjadi topik perbualan utama bagi mereka. Mereka kagum dengan kesungguhan dan sikap yang ditunjukkan oleh Kupu-kupu dan Rama-rama. Banyak haiwan yang cemburu dengan persahabatan mereka yang dianggap unik ini. Suatu pagi, tanpa disedari oleh haiwan dan serangga di taman tersebut, sekumpulan manusia telah menceroboh masuk ke dalam taman tersebut. Mereka berniat jahat dan ingin merampas kecantikan dan kedamaian di taman tersebut. Sikap manusia yang tamak itu telah menyebabkan malapetaka yang besar menimpa hidupan di sana. Banyak serangga yang mati akibat terhidu gas beracun yang disembur oleh manusia. Oleh itu, banyak serangga yang lari menyelamatkan diri daripada dibunuh oleh manusia tersebut. Kupu-kupu teringat akan nasib Rama-rama. Dia sangat risau akan perihal sahabatnya itu. Entah selamat, entah tidak. Namun, kawasan Mawar telah menjadi kawasan larangan untuk serangga dan haiwan melaluinya. Walaupun mengetahui bahaya yang bakal menimpanya, Kupu-kupu tetap berkeras untuk berjumpa dengan Mawar untuk menanyakan perkhabaran sahabatnya, Rama-rama.
Malang tidak berbau. Akibat kecuaian Kupu-kupu, akhirnya dia telah terhidu gas beracun yang duisembur oleh manusia. Mujur sahaja racun yang dihidu itu tidak meragut nyawanya. Namun, Kupu-kupu tidak dapat bergerak dan terlantar kesakitan menahan racun yang tersisa di dalam badannya. Kejadian ini telah sampai ke pengetahuan rama-rama. Dia berasa sangat risau dan khuatir akan keselamatan sahabatnya itu. Mawar yang meluhat kejadian tersebut menceritakan peristiwa sebenar yang berlaku. Rama-rama menjadi sangat marah akan bencana dan huru-hara yang dilakukan oleh manusia yang tamak tersebut. Dia berasa sangat lemah dan tidak bermaya kerana tidak dapat membantu sahabatnya. Namun, tekat yang kuat yang ada dalam diri rama tidak mematikan hasratnya untuk tetap membantu dan mencari jalan untuk menyelamatkan sahabatnya, Kupu-kupu.
Rama-rama berjumpa dengan dukun di taman tersebut. Dia cuba untuk menanyakan tentang penawar yang dapat di berikan kepada sahabatnya agar kembali sembuh. Dukun tersebut menunjukkan riak wajah yang runsing dan serba salah. Terdapat satu cara yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan sahabatnya iitu, namun risikonya sangat besar dan bahaya. Rama-rama perlu mencari madu bunga Orkid Hutan yang terdapat di dalam sebuah hutan yang tebal dan liar. Hutan tersebut dipenuhi dengan banyak haiwan dan serangga yang berbahaya. Dukun tersebut tidak menyarankan agar Rama-rama untuk mencari madu tersebut. Seperti masuk telinga kanan keluar telinga kiri, Rama-rama tidak menghiraukan amaran yang diberikan oleh dukun tersebut.
Rama-rama segera berkemas dengan bekalan-bekalan yang diperlukan dan bersiap untuk pergi mencari madu tersebut. Rama-rama pergi tanpa memaklumkannya kepada sesiapa pun. Dia tidak mahu ada yang menghalang perjalanannya kali ini. Dengan tekad dan semangat yang tinggi, Rama-rama mengginakan segala yang diperolehinya untuk sampai ke hutan tersebut. Sepanjang perjalanan, pelbagai halangan dan dugaan yang dihadapi oleh rama-rama. Malah, dia hampir sahaja kehilangan nyawanya apabila hampir dimakan oleh haiwan-haiwan yang ada di dalam hutan tersebut. Kekuatan dan semangat yang dibawa menjadikan dia lebih kuat untuk meneruskan perjalanan demi mencari penawar untuk sahabatnya itu.
Setelah seharian peneroka hutan, akhirnya dia berjumpa dengan Orkid Hutan yang dimaksudkan oleh dukun tersebut. Bunganya sangat cantik, madunya pula sangat enak dan lazat. Ia seolah-olah memberikan kembali tenaga yang terbuang dan digunakan. Rama-rama menjadi semakin bertenaga dan penuh bersemangat untuk meneruskan perjalanan. Dengan bekalan madu yang dikira mencukupi untuk diberikan kepada Kupu-kupu, rama-rama meneruskan perjalanan pulang ke tempat asalnya. Mawar berasa sangat gembira dan bersyukur setelah melihat kelibat Rama-rama yang menghilangkan diri sejak mengetahui perihal Kupu-kupu. Dia amat risau Rama-rama akan membahayakan dirinya untuk menyelamatkan Kupu-kupu. Kini, madu tersebut bolehlah diberikan kepada Kupu-kupu. Namun, Rama-rama berharap agar dia dapat memberikan penawar tersebut secara peribadi dan bersemuka dengan Kupu-kupu. Dengan izin dukun, Rama-rama boleh bertemu Kupu-kupu pada siang hari. Rama-rama tergamam dan terpegun dengan kecantikan yang dimiliki oleh Kupu-kupu. Ternyata apa yang dikhabarkan oleh hidupan di taman tentang Kupu-kupu adalah benar. Tanpa melengahkan masa, rama-rama memberikan penawar tersebut kepada Kupu-kupu. Dengan izin Tuhan, Kupu-kupu kembali pulis seperti sedia kala. Dia berasa amat terkejut setelah bertemu Rama-rama. Dia tidap pernah membayangkan pertemuan ini sama sekali. Setelah sekian lama bersahabat, akhirnya mereka dapat menjalani kehidupan seharian bersama-sama. Sejak daripada peristiwa itu, Rama-rama dan Kupu-kupu hidup bersama dan harmoni. Taman mereka juga terselamat daripada ancaman manusia yang rakus dan tamak.

No comments:

Post a Comment