Sunday, 13 January 2013

SI MURAI DAN MAWAR PUTIH.... 13.01.13.


SI MURAI DAN MAWAR PUTIH
Di sebuah hutan yang tebal, tinggal seekor burung murai yang hidup piatu. Aktiviti hariannya hanya dihabiskan dengan membantu datuknya membina sarang yang ditempah oleh hidupan di dalam hutan tersebut. Walaupun hampir 5 tahun berhijrah ke hutan ini, namun bagi Si Murai hutan ini masih asing bagi dirinya. Dia tidak punya ramai kawan, hanya pelanggan-pelanggan yang berkunjung untuk menempah sarang sahaja menjadi teman berbual. Suatu hari, Si Murai diarahkan oleh datuknya untuk masuk ke dalam hutan untuk mencari ranting-ranting dan daun-daun kering untuk digunakan sebagai bahan membuat sarang. Hal ini sangat asing bagi dirinya, kerana selama ini pekerja-pekerja datuknyalah yang sering mengisi kekurangan stok ranting. Namun, disebabkan pekerja-pekerja datuknya mengambil cuti dan stok yang sedia ada tidak mencukupi untuk tempahan yang diterima, Si Murai memberanikan dirinya untuk masuk ke dalam hutan.
Sepanjang perjalanan untuk mencari ranting, Si Murai sering kali berhenti untuk berehat sehinggalah dia tiba di sebatang sungai yang sungguh jernih, dia bertemu dengan seekor arnab berwarna kelabu, Si Kelam. Si Kelam sedang menjamu bekalan yang dibawanya. Tiba-tiba Si Murai berasa lapar. Dia lupa untuk mengambil sarapannya pagi tadi. Si Murai dengan ramahnya menyapa Si Kelam dan menceritakan tujuan masing-masing masuk ke dalam hutan. Si Kelam seekor arnab pengembara. Dia telah masuk ke banyak hutan seorang diri sebelum ini. Hutan ini merupakan hutan ke-11 baginya. Oleh sebab Si Murai masih asing dengan hutan ini dan tidak mempunyai pengalaman masuk ke dalam hutan, dia memutuskan untuk meminta pertolongan Si Kelam.
Setelah seharian meneroka hutan bersama, mereka sampai ke sebuah padang yang luas dan dipenuhi dengan bunga-bungaan. Si Murai yang kelaparan berasa sangat gembira melihat bunga-bunga yang tumbuh segar dan penuh dengan madu. Dia tertarik dengan sekuntum bunga mawar putih yang sungguh cantik. Mawar merah itu agak terasing daripada pokok-pokok yang lain. Oleh sebab Mawar Putih tinggal seorang diri, Mawar Putih kelihatan seperti disisihkan daripada mawar merah yang lain. Si Murai berasa simpati dengan nasib yang menimpa Mawar Putih. Oleh itu, dia mendekat Mawar Putih dan mengambil madunya. Si Murai tergamam. Madu itu sangat sedap! Dia tidak pernah merasa madu yang sesedap ini. Tanpa pengetahuan Si Murai, perbuatannya telah diperhatikan oleh sekumpulan lebah madu. Mereka sangat menginginkan madu Mawar Putih yang sangan enak itu. Malah, pelbagai usaha dan ikhtiar yang telah mereka lakukan untuk memperoleh madu tersebut tetapi tidak berjaya. Hal ini akhirnya sampai ke pengetahuan Ratu Lebah. Baginda sangat murka dan menitahkan pengikut-pengikutnya yang lain untuk memanggil Burung Hantu, Si Ahli Sihir. Burung Hantu telah memberikan sejenis racun dan mengarahkan agar ditaburkan ke atas Mawar Putih untuk mengelakkan Si Murai daripada terus mengambil madu Mawar Putih itu.
Keesokan harinya, Si Murai sekali lagi datang menghampiri Mawar Putih untuk mengambil madu. Namun, Mawar Putih segera melarang dan mengarahkan agar Si Murai mencari air penawar berdekatan Pokok Ara, Si Raja Hutan. Air penawar itu boleh menjadi penawar kepada racun yang ada pada Mawar Putih. Oleh sebab kepekaan dan keprihatinan Mawar Putih, Si Murai dapat mengambil madu tersebut tanpa mengambil racun yang ada padanya. Si Murai berhutang nyawa dengan Mawar Putih. Hubungan mereka menjadi semakin rapat. Tanpa disedari, hampir sebulan merekahidup bersama.
Suatu hari, Si Murai mendekati Mawar Putih seperti kebiasaannya. Namun, hari ini Si Murai nekad untuk meluahkan perasaannya kepada Mawar Putih. Tapi sayang, Mawar Putih sedar hubungan itu tidak akan berhasil. Namun, Si Murai tetap berkeras untuk menyatakan perasaannya yang begitu mendalam terhadap Mawar Putih. Akhirnya, Mawar Putih bersetuju untuk menerima perasaan Si Murai dengan satu syarat. Mawar putih hanya akan bersetuju sekiranya Si Murai boleh menukarkannya menjadi mawar merah. Hal ini telah sampai ke pengetahuan Ratu Lebah sekali lagi. Kali ini, Burung Hantu telah diarahkan intuk menyihir Mawar Putih. Disebabkan sumpahan yang dikenakan oleh Burung Hantu itu, Mawar Putih tidak boleh lagi  menghasilkan madu yang enak dan akan mati jika tidak ditukarkan menjadi mawar merah.
Si Murai bersimpati dengan nasib yang menimpa Mawar Putih. Oleh itu, dia telah segera bertemu dengan Raja Hutan. Sesampainya di sana, Raja Hutan memberikan perkhabaran yang kurang menggembirakan dan menghampakan. Air penawar tidak boleh menyembuhkan sihir yang dikenakan ke atas Mawar Putih. Namun, Raja Hutan menyatakan bahawa Mawar Putih masih boleh diselamatkan sekiranya diberikan darah oleh insan yang disayanginya. Hal ini telah merunsingkan fikiran Si Murai. Sepanjang malam dia asyik memikirkan hal yang diberitahu Raja Hutan. Akhirnya dia telah mengambil keputusan untuk menyelamatkan Mawar Putih walaupun perlu mengorbankan dirinya. Dia segera menulis dua pucuk surat, satu untuk diberikan kepada datuknya dan satu lagi kepada Mawar Putih. Surat-surat itu kemudiannya dititipkan kepada Si Kelam.
Keesokan harinya, Si Muran menghampiri  Mawr Putih, sama seperti hari-hari sebelumnya. Hari ini dia memberikan perkhabaran gembira tentang perkara yang boleh menyembuhkan Mawar Putih daripada penyakit yang dihidapinya. Mawar Putih kelihatan begitu gembira, namun dia masih tidak mengetahui penawar yang dinyatakan itu bakal mengancam nyawa kekasihnya. Tanpa melengahkan masa, Si Murai memotong sayapnya dan menebarkan darahnya ke atas kelopak-kelopak Mawar Putih. Dengan tidak disangka Mawar Putih, kelopak-kelopaknya telah berubah menjadi merah dan dia dapat kembali menghasilkan madu yang enak dan digemari banyak serangga. Mawar Putih akhirnya sedar betapa besarnya cinta dan kasih sayang yang dimiliki oleh Si Murai terhadapnya. Namun, semua ini telah terlambat. Si Murai terkulai layu tidak bernyawa lagi kerana kecederaan yang amat serius. Mawar Putih berasa sangat sedih dan menyesali setiap tingkahnya terhadap Si Murai selama ini. Seperti yang diarahkan, Si Kelam menyerahkan sirat yang dititipkan oleh Si Murai. Berita mengenai pengorbanan yang dilakukan oleh Si Murai telah mendapat perhatian seluruh isi hutan. Ratu Lebah yang turut mendengar perkhabaran ini juga berasa sangat bersalah dan menyesali perbuatannya yang tamak itu. Berikutan peristiwa ini, mawar merah dijadikan lambang cinta yang sangat mendalam lambang cinta Si Murai kepada Mawar Putih.

No comments:

Post a Comment